PENGURUSAN HAL EHWAL MURID


Jawatankuasa Penolong Kanan HEM diwujudkan apabila didapati bahawa beban tugas pengurusan sekolah yang dipikul oleh Pengetua dengan dibantu oleh Penolong Kanan (Pentadbiran) sudah bertambah dan menjadi lebih rumit.


Sehubungan dengan itu, jawatan Penolong Kanan HEM diwujudkan dan beliau diberi tanggungjawab untuk membantu Pengetua menangani hal-hal yang berkaitan dengan pengurusan HEM.


Dua aspek yang penting dalam bidang ini adalah mengenai keselamatan dan kebajikan murid.


Untuk memastikan murid-murid selamat semasa di bawah pengawasan sekolah maka sekolah perlu memastikan bahawa perkara-perkara berikut dilaksanakan:-



  1. Memastikan sekolah memiliki semua dokumen undang-undang, peraturan dan surat-surat pekeliling ikhtisas yang berkaitan.
  2. Memastikan semua staf sekolah membaca dan memahami semua undang-undang, peraturan dan surat-surat pekeliling ikhtisas yang berkaitan.
  3. Memastikan semua undang-undang, peraturan dan surat-surat pekeliling ikhtisas dipatuhi oleh semua staf sekolah.
  4. Memaklumkan kepada pelajar dan ibubapa semua undang-undang, peraturan dan surat-surat pekeliling ikhtisas yang berkaitan.

Pelaksanaan di atas akan dapat dicapai dengan tindakan berikut:



  1. Sekolah memiliki, memahami dan mematuhi kandungan dokumen-dokumen seperti Ordinan Pelajaran 1957; Peraturan Pelajaran; Buku Panduan AM Disiplin Sekolah; Buku Panduan Tatacara Disiplin Sekolah untuk Pengetua/Guru Besar dan Guru; Buku Panduan Bagi Ibubapa Mengenai Disiplin Murid Sekolah; Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 7/1986: Langkah Meningkatkan Keberkesanan Disiplin Sekolah.
  2. Sekolah menyedia dan mengedarkan peraturan sekolah kepada semua pihak yang berkaitan.
  3. Sekolah memperjelaskan undang-undang dan peraturan-peraturan kepada semua ibubapa dan murid.
  4. Sekolah menyedia dan melaksanakan program-program untuk mempertingkatkan disiplin murid.
  5. Sekolah mengkaji secara berkala punca salah laku murid dan program pencegahan dan pemulihan.

Kehadiran murid di sekolah juga memerlukan sekolah melihat akan hal-hal mengenai kebajikan murid seperti :



  1. Bantuan kewangan berbentuk biasiswa.
  2. Pemakanan seimbang melalui pengurusan kantin yang bijaksana.
  3. Pinjaman buku teks bagi yang memerlukan.
  4. Barangan keperluan harian aktiviti di sekolah melalui koperasi sekolah.
  5. Kesihatan fizikal, mental dan emosi menerusi aktiviti ko-kurikulum.
  6. Proses sosiolisasi yang mantap dan cemerlang dengan bimbingan Guru Bimbingan dan Kaunseling.

Beginilah besarnya harapan Kementerian Pendidikan dan atas kesedaran bahawa generasi masakini adalah pemimpin masa depan maka warga pendidikan amnya harus menerima cabaran ini.